Assalamualaikum
SIDANG MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIKASIHI DAN DIRAHMATI ALLAH;
Terlebih dahulu saya ingin berpesan dan mengucapkan selamat menyambut ketibaan bulan Ramadhan kepada seluruh umat muslimin dan muslimat. Semoga Ramadhan tahun ini memberi keberkatan kepada kita semua. Marilah kita bersama bersyukur dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. kerana dengan izin-Nya kita dapat sekali lagi menyambut ketibaan Ramadhan yang pada awalnya Rahmat, pertengahannya keampunan dan pada akhirnya merdeka atau bebas dari api neraka.
Rasulullah s.a.w. telah menegaskan dalam satu hadisnya yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan. Di mana Allah mewajibkan kamu berpuasa, kerana pada bulan Ramadhan dibukakan semua pintu syurga, dikuncikan pintu-pintu neraka dan di belenggukan syaitan, dan juga terdapat satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan, barang siapa diharamkan dan ditegahkan daripada mendapat kebajikan pada malam ini, bererti tertegahlah kepada segala bentuk kebaikan”.
SIDANG PEMBACA YANG BERBAHAGIA,
Renungkanlah, bagaimana kejadian buruk masih lagi berlaku, sedang di bulan Ramadhan segala syaitan dan kuncu-kuncunya telah dirantaikan dan dibelenggukan, umpat mengumpat misalnya menjadi perbualan mulut, kata-kata kesat masih meniti di bibir-bibir mulut. Malah yang mengaibkan lagi ada juga sebahagiannya sanggup melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Islam. Keadaan ini terjadi kerana matlamat puasa kita itu belum lagi mencapai tahap yang dikehendaki iaitu tahap sebagai benteng pertahanan jiwa. Seandainya jiwa belum lagi terbentuk sebagai benteng yang kukuh senanglah nafsu syahwat yang sedia ada dalam jiwa mengajak ke arah keburukan dan kemaksiatan.
SAUDARA MUSLIMIN,
Ramadhan ialah perkataan Arab dari kata dasar ‘Ramadha’ yang membawa dua pengertian :
Pertama: Memberi makna sangat panas atau membakar kerana pada masa dahulu apabila tiba bulan yang kesembilan taqwim Qamariah atau Hijriah kebanyakan Jazirah Arab atau kepulauan Arab berada dalam keadaan yang bergitu panas dan bahang.
Kedua: Ada yang mentafsirkan kelebihan Ramadhan dapat menghapus dan meleburkan dosa-dosa manusia yang telah lalu berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“ Barang siapa yang ingin menghayati kelebihan beribadat di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan kerana Allah sahaja akan diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu”.
Riwayat Bukhari dan Muslim.
Namun bergitu maksud yang tersirat hanya Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui. Kita harapkan kepanasan maknawi itu akan membakar dan melebur dosa-dosa dan kesalahan harian disamping penghidupan kita.
KAUM MUSLIMIN SEKALIAN,
Ibadat puasa mempunyai hikmah dan rahsia-rahsia sama ada dari segi rohaniah,jasmaniah dan kemasyarakatan. Dari segi kerohanian, ia boleh menundukkan nafsu jahat yakni naluri atau perasaan yang mendorongkan kepada kejahatan. Ibadat ini bukan sahaja terdapat di dalam syariat Islamiah, malahan di dalam syariat-syariat lain juga akan memfardhukan ibadat puasa meskipun keyakinan jiwanya berlainan.
Hikmat puasa dari sudut rohani boleh juga menguatkan keperibadian,meluhurkan kesusilaan dan membersihkan jiwa insan. Puasa juga sebagai latihan rohani yang mana setiap yang berpuasa wajib menahan diri daripada nafsu makan minum,nafsu kejantinaan dan mengawal moral yang rendah dan menyakitkan orang lain seperti mencela , caci maki, mengumpat, bercakap kotor dan mengikut keinginan nafsu.
Untuk membentuk keperibadian yang mulia seorang pengarang bangsa Jerman bernama James Brooke menulis sebuah buku yang mana di dalam tulisannya beliau memuji hikmah berpuasa.
Katanya untuk menguatkan perasaan dan jiwa hendaklah dijadikan puasa ini sebagai pokok atau dasar hidup, kerana ia paling berkesan untuk mengawal pengaruh rohaniah keinginan jasmaniah. Justeru itu manusia boleh menguasai dirinya sendiri agar tidak menjadi hamba kepada naluri kebendaan. Puasa dari sudut kesihatan dan rawatan penyakit. Ibadat puasa merupakan sebahagian daripada cara-cara yang paling berkesan menjaga kebersihan bertepatan dengan kata-kata seorang hukamak yang bemaksud:
“Maiddah” atau perut besar merupakan sarang penyakit dan berpantang itu pokok daripada segala ubat”
Imam Ghazali juga memberi penjelasan iaitu: Manakala maiddah atau perut besar seseorang ini biasa penuh, maka tidur nyenyaklah akal fikiran dan kaku bekulah kecerdasan dan kebijaksanaan. Akhirnya malas dan lesu seluruh anggota badan daripada menunaikan solat
Penjelasan daripada Imam Ghazali itu dapat kita fahami bahawa kekosongan perut orang yang berpuasa bukanlah merupakan satu azab atau penderaan kepada mereka sebaliknya ia merupakan satu langkah untuk memperolehi kecergasan rohani dan kesegaran jasmani kerana akal fikiran ketika berpuasa sedang membangun .Ada yang beranggapan puasa boleh menjejaskan kesihatan. Dalam konteks ini memang kumpulan kecil yang perlu dikenalpasti dapat nasihat daripada doktor berhubung dengan berpuasa. Ada penyakit seandainya seseorang itu berpuasa boleh menjanjikan kesihatan dan Allah s.w.t. telah memberi rukhsah atau kelonggaran kepada mereka yang uzur supaya tidak berpuasa. Kalau dilihat allah s.w.t. pencipta manusia dan alam lebih mengetahui akan perkara yang baik untuk kejadiaanya dan sudah termaktub di dalam Al-Quran akan kelonggaran tersebut.
KAUM MUSLIMIN SEKALIAN,
Demikian juga rahsia puasa dari sudut kemasyarakatan iaitu dapat memupuk perasaan rahmah dan belas kasihan terhadap fakir miskin, anak-anak yatim dan orang-orang yang kurang bernasib baik kerana orang-orang kaya akan dapat merasai sama perasaan apa yang dirasai oleh fakir miskin dan penderitaan mereka. Dalam hal ini orang-orang beriman dan bertaqwa akan tersentuh perasaan mereka untuk berkasih sayang serta menolong orang-orang yang tidak berkemampuan yang sering kali merasai kelaparan, Nabi Allah Yusuf a.s. walaupun baginda mengetuai khazanah harta kekayaan negara Mesir pada ketika itu, ada orang bertanya kepada baginda yang bermaksud: “Kenapakah tuan berpuasa ? sedangkan tuan merupakan pengerusi pembekalan negara”. Baginda menjawab: “Aku bimbang kiranya aku kaya dan perut kenyang tetapi lupa kepada orang yang bernasib baik”.
WAHAI SAUDARA SEAGAMAKU,
Budaya dan tabiat boros ketika berbelanja juga menggambarkan seolah-olah umat Islam di negara kita lebih cenderung untuk berhari raya daripada berpuasa. Adadi kalangan mereka beberapa bulan sebelum tiba Ramadhan mereka telah membelanja sejumlah wang yang banyak untuk membeli belah secara berlebih-lebihan sebagai persiapan menyambut hari raya. Amalan ini patut dielakkan kerana tidak menepati dengan kehendak Islam, dalam Islam yang lebih diutamakan ialah penghayatan Ramadhan terlebih dahulu bukannya hari raya. Justeru itu kita disunatkan berpuasa dalam bulan Rejab dan Syaaban sebagai latihan dan persiapan menghidupkan Ramadhan dengan amalan-amalan kebajikan .
Kita harus menghormati Ramadhan sebagai perkara pokok dan bukannya sampingan. Kita bimbang juga cara begini diamalkan. Tidak mustahil suatu hari nanti generasi akan datang tidak mengenali bulan Ramadhan, tidak mengenal keistimewaan dan keberkatannya. Firman Allah yang bermaksud: “wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana telah ke atas umat-umat yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang beriman”.
Marilah kita bersama berazam dan bertekad untuk berusaha bersungguh-sungguh melakukan amal ibadah di sepanjang bulan yang penuh kemuliaan dan keampunan ini. Janganlah dibuang kesempatan ini kerana tidak ada siapa yang boleh menjamin bahawa kita akan hidup lagi esok hari melainkan dengan izin dan kasih sayang Allah Taala.
Selamat menyambut bulan Ramadhan.